Berikut adalah satu penulisan tentang kahwin misyar ketika isu ini sedang heboh. Ini salah satu pendapat. Sebenarnya ada pendapat yang membolehkannya. Sila ikuti perbahasannya...
Peguam Syarie Menulis: Misyar tak tepati falsafah Islam
MASYARAKAT Islam di Malaysia, baru-baru ini, dikejutkan dengan isu perkahwinan misyar. Apabila isu ini dibangkitkan semua orang berebut-rebut memberi komen, termasuk mereka yang tidak mempunyai latar belakang dan asas agama. Mereka berhujah mengenai perkara ini seolah-olah mereka mempunyai keilmuan yang tinggi dalam bidang ini.
Akibatnya undang-undang Islam itu dilihat seolah-olah bercanggah antara satu sama lain dan umat Islam tidak boleh bersatu dalam perkara remeh-temeh ini.Misyar (dibaca dengan mis yar) adalah suatu perkataan Arab yang terbit daripada perkataan ‘saaro’ yang bermakna berjalan. Justeru, misyar bermakna pejalan atau pengembara. Pernikahan misyar pula bererti pernikahan yang dilakukan oleh pedagang atau pengembara dengan syarat tertentu iaitu isteri bersetuju untuk tidak menuntut sebahagian haknya terhadap suami.
Ada dua pandangan yang seolah-olah bercanggah antara satu sama lain dan menjadi bahan ketawa bukan Islam dan orang Islam sendiri.
Bagi golongan yang menyokong perkahwinan misyar, mereka berpandangan bahawa oleh kerana isteri bersetuju untuk tidak menuntut haknya dalam perkahwinan, kedua-dua pihak terikat dengan persetujuan itu.
Mereka berhujah bahawa semua rukun nikah dipenuhi hingga menjadikan perkahwinan misyar itu sah. Pegangan golongan ini ialah berdasarkan ayat al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji kamu."Oleh demikian setiap janji itu mesti ditepati.
Oleh kerana si isteri berjanji tidak akan menuntut haknya, maka si isteri terikat dengan janji itu dan terhalang daripada memohon haknya di sisi undang-undang.
Bagi golongan yang tidak menerimanya pula, melihat aspek perkahwinan itu melebihi daripada suatu kontrak kerana membabitkan anak, pembangunan masyarakat Islam dan institusi keluarga dan sebagainya.
Sebuah perkahwinan yang berjaya memerlukan kasih sayang dan keharmonian. Bagaimana, kita hendak membangunkan umat Islam yang cemerlang jika kerukunan rumah tangga tidak disemai dalam institusi keluarga.
Mereka berpendapat walaupun pernikahan misyar ini memenuhi rukun nikah yang ditetapkan, perkahwinan seperti ini tidak perlu digalakkan di Malaysia kerana tidak sesuai dengan budaya masyarakat kita.Ia juga tidak menepati falsafah pernikahan yang dianjurkan oleh Islam.
Pada asalnya, pernikahan misyar ini yang bermula beribu tahun lalu di negara Arab dilakukan kerana pedagang Arab berdagang dengan meninggalkan keluarga mereka untuk tempoh lama sehingga bertahun lamanya. Ia kerana kaedah perjalanan yang agak sukar ketika itu.Sejak itu budaya ini disemai dan diterima pakai di kalangan masyarakat Arab.
Oleh itu, tidak sukar bagi masyarakat Arab menerima pernikahan misyar pada masa ini. Tetapi, keadaan ini berbeza di Malaysia kerana ia tidak pernah diamalkan di sini dan tiba-tiba kita hendak memperkenalkannya pula.Kedua-dua pandangan ini sebenarnya mempunyai merit masing-masing dan biarkan ulama kita yang membincangkannya dengan keilmuan mereka.
Pernikahan misyar tergolong dalam perkara ijtihadiy yang tidak membabitkan perkara asas di dalam Islam.
Oleh demikian, perbezaan pandangan dalam perkara ijtihadiy seperti ini adalah dibenarkan dalam Islam. Apabila wujud pandangan berbeza, ia tidak bermakna ulama Islam bertelagah antara satu sama lain. Perbezaan pandangan ini wujud akibat perbezaan tafsiran mengenai sesuatu dalil atau penerimaan dalil itu sendiri. Keadaan ini sebenarnya menunjukkan kekuatan undang-undang Islam yang boleh disesuaikan pada setiap masa dan tempat. Perbezaan ini tidak sekali-kali menunjukkan kelemahan undang-undang Islam.
Namun, apa yang ditunjukkan oleh media massa (bukan semua) ialah pertentangan pendapat ini seolah-olah ia amat besar dan tidak ada jalan penyelesaiannya. Gambaran yang diberikan ialah ulama kita sering bertelagah antara satu sama lain. Bukan ulama saja ditonjolkan sebagai berselisih faham, malah orang awam dikategorikan dalam dua kumpulan yang bertentangan.
Perkara sebegini amat menyedihkan kerana ia terbit kerana ceteknya pengetahuan dalam undang-undang Islam. Dalam Islam ada hukum yang bersifat putus atau qat'ie dan ada hukum yang bersifat spekulatif atau zanni. Hukum hakam yang berkait dengan perkara asas atau usul tidak boleh diberi tafsiran yang pelbagai. Hukum hakam yang bersifat cabangan atau furu' boleh diinterpretasi mengikut keperluan dan kaedah ditetapkan. Di sinilah ijtihad ulama memainkan peranan. Dalam proses menggarap sesuatu hukum melalui ijtihad, maka akan terbitlah perbezaan pandangan dan pendapat kerana perbezaan kemaslahatan atau suasana.
Namun, perbezaan itu dibenarkan dalam Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: "Perbezaan (pandangan) umatku adalah rahmat." Tambahan pula seorang ulama yang berijtihad dan ijtihadnya betul, akan diberi dua pahala. Sementara, ulama yang berijtihad, tetapi ijtihadnya tersalah maka beliau diberi satu pahala atas daya usahanya mengeluarkan ijtihadnya itu walaupun tersalah.Ia bermakna Islam tidak mengikat umatnya dalam perkara cabangan seperti ini.
Perbezaan pandangan adalah lumrah manusia dan bukan kelemahan sistem undang-undang itu sendiri. Dalam sistem undang-undang lain juga sebenarnya wujud lebih banyak pertentangan pendapat sehinggakan perkara pokok pun menjadi pertikaian. Ini terbukti daripada keputusan mahkamah yang berbeza di antara satu sama lain di dalam membicarakan isu yang sama. Kita kerap membaca sesuatu keputusan itu diketepikan kerana mahkamah memberi tafsiran yang berlainan dengan tafsiran terdahulu.
Sebenarnya ada banyak agenda besar lain harus diberi perhatian di Malaysia, umpamanya, penyeragaman undang-undang Islam antara negeri, mengembangkan bidang kuasa mahkamah syariah, meletakkan undang-undang Islam pada tempat yang sewajarnya, konflik undang-undang dan akidah umat Islam.Perkara remeh-temeh seperti perkahwinan misyar ini hendaklah ditinggalkan kepada ulama kita untuk membincangkannya mengikut kaedah ditetapkan hukum syarak.
Namun, tidak bermakna kita tidak boleh mengetahui perkara itu, tetapi tumpuan adab dan cara yang betul di dalam menghadapi perbezaan pandangan hendaklah dihayati. Ia supaya umat Islam tidak dijadikan bahan ketawa oleh bukan Islam dan orang Islam sendiri.
Artikel ini dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Pandangan dan persoalan kemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.org.my, faksimile 03-80259495 atau layari http://www.pgsm.org.my/v2
Showing posts with label perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label perkahwinan. Show all posts
Sunday, March 30, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)